Sabtu, 21 Mac 2015

6 topi fikiran

1. TOPI PUTIH
Topi putih ialah lambang maklumat semata-mata. Tidak mempunyai tafsiran tidak berkaitan dengan emosi. Berfikir secara topi putih bermakna kita cuma melihat pada maklumat yang ada. Kemukakan maklumat-maklumat yang ada. Maklumat itu mungkin dalam bentuk fakta, angka-angka, statistik, senarai ataupun lain-lain. Apabila memakai topi ini kita boleh gunakan pengalaman kita dan pengetahuan kita tentang sesuatu perkara. Apabila memakai topi ini, perkara-perkara yang diutamakan ialah maklumat yang sudah kita ketahui, maklumat yang sepatutnya ada dan bagaimana hendak mendapatkan maklumat-maklumat yang penting tetapi tidak ada pada kita. Kemahiran yang penting bagi mencari maklumat ialah kemahiran bertanya soalan-soalan yang betul.
2.TOPI HITAM
Topi hitam boleh dianggap topi paling popular kerana menjadi kegemaran ramai orang. Kegunaan paling utama topi hitam ialah menghindarkan kita daripada melakukan kesilapan-kesilapan dan membuat keputusan-keputusan yang tidak bijak dan lebih berhati-hati. Topi hitam ialah topi pemikiran kritikal dan pemikiran negatif. Apabila seseorang itu memakai topi hitam, dia sangat mementingkan kebenaran dan realiti. Topi hitam mencari apa-apa yang salah. Yang salah mungkin faktanya, alasannya, hujahnya ataupun apa-apa saja. Topi hitam adalah topi logik. Ia melihat sama ada sesuatu itu betul daripada segi logiknya. Ia sangat mementingkan alasan-alasan bagi apa-apa sahaja yang dikemukakan.
3. TOPI MERAH
Topi merah membolehkan individu bebas melahirkan perasaan, gerak hati, firasat dan emosi tanpa perlu memberikan penjelasan mahu pun alasan. Topi merah meminta seseorang itu supaya menyatakan perasannya terhadap suatu perkara pada sesuatu ketika (perasaan orang lain itu mungkin berubah pada masa lain). Orang itu tidak perlu memberikan alasan atau penjelasan tentang perasaannya. persaan tetap wujud dan harus diterima dalam sesuatu perbincangan dengan syarat perasaan itu diakui dan dilahirkan sedemikian dan bukannya cuba disembunyikan atau dilahirkan seolah-olah suatu pemikiran yang logik. Gerak hati mungkin berdasarkan pengalaman luas dalam sesuatu bidang atau perkara yang dibincangkan itu dan mungkin bermanfaat.
4.TOPI HIJAU
Topi hijau ialah lambang fikiran yang kreatif dan konstruktif. Ia menyebabkan sesuatu yang baru terjadi. Apabila memakai topi ini, seseorang itu sangat berminat dengan alternatif-alternatif baru, idea-idea baru, penyelesaian-penyelesaian baru, jawapan-jawapan baru, rekacipta-rekacipta baru dan segala-galanya yang baru. Topi hijau ialah topi proaktif, bukan topi reaktif. Ia topi yang pro-vokatif. Ia suka bertanya, menyoal dan mencabar apa-apa yang kini ada. Apabila memakai topi ini, kita tidak peduli pada logik. Kita tidak perlu memberi apa-apa alasan pada apa yang kita fikirkan dan katakan.
5.  TOPI KUNING
Topi kuning lambang kepada aspek-aspek positif. Kita cuba melihat apa yang berlaku, kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi ataupun apa yang boleh dilakukan bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sekarang. Perkara yang paling banyak kita fikirkan ialah faedah-faedah dan manfaat-manfaat sesuatu idea. Topi kuning mesti menerangkan dengan jelas mengapa idea itu baik dan dijangka akan menghasilkan kejayaan. Topi kuning mesti memikirkan hal-hal positif sahaja. Walaupun idea itu nampak seolah-olah bukan idea yang baik, topi kuning mesti berusaha mencari aspek-aspek positif yang ada padanya.
6. TOPI BIRU
Topi biru lebih tinggi daripada topi-topi yang lain. Topi biru memikirkan topi-topi lain. Berfikir tentang berfikir merupakan tugas topi biru. Apabila memakai topi biru, kita berkelakuan seperti seorang pemimpin orkestra. Yang kita fikirkan ialah cara-cara kita berfikir. Ini berbeza dengan topi-topi lain. Topi kuning, putih, hitam, hijau dan merah memikirkan perkara yang difikirkan. Manakala topi biru memikirkan cara kita berfikir. Topi biru boleh juga diibaratkan sebagai topi seorang pengerusi mesyuarat. Ia membuat jadual berfikir bagi topi-topi lain dan memandu kemajuan sesi berfikir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan